Jumaat, 1 Ogos 2008

Nasihat atok

ISRA’ MIKRAJ :PENGAJARAN BUAT PEJUANG ISLAM

“Mahasuci Allah yang memperjalankan hambaNya (Muhamamd SAW) pada malam hari daripada Masjidil Haram ke Masjidil Aqsa yang telah kami berkati sekelilingnya agar kami perlihatkan kepadanya sebahagian tanda-tanda (kebesaran) kami. Sesungguhnya Dia Maha mendengar, Maha mengetahui” (Al-Isra’ 15:1)

Peritiwa Israq’ wal mikraj adalah satu peristiwa yang Allah berikan kepada nabi Muhammad SAW pada 27 Rejab tahun ke 12 baginda dibangkitkan menjadi seorang Rasul . Ia berlaku selepas kematian dua orang yang baginda kasihi Saidatina Khadijah Binti Kuwailid dan Abu Talib. Tahun itu disebut sebagai ‘Amul Huzni (tahun duka cita ).

Kedua insan yang banyak mempertahankan risalah yang baginda bawa selama ini. Mereka berdua adalah obor semangat sepanjang baginda berdakwah. Kejayaan dakwah yang baginda bawa pada peringkat awal adalah hasil sokongan moral dan material mereka berdua. Tetapi Allah lebih mengetahui hikmat yang tersurat dan tersirat.

Kematian kedua mereka ini untuk menjawab bahawa kejayaan dakwah dan Islam bukan Khadijah dan Abu Talib yang menentukan. Tetapi Allah SWT yang menjaga agamanya daripada dimusnahkan oleh manusia. Seandainya kejayaan Nabi Muhammad SAW dalam dakwah kerana mereka berdua, apa pula umatnya seperti kita yang meneruskan perjuangan Islam yang tidak mempunyai Abu Talib dan Saidatuna Khadijah.

Tetapi Islam adalah jagaan Allah manusia tidak boleh untuk melumpuhkan Islam dengan apa cara sekalipun. Seperti firman Allah SWT “Mereka hendak memadam cahaya Allah (agama Allah) dengan mulut mereka dan Allah yang menyempurnakan cahayaNya meskipun orang-orang kafir membencinya” Al-Saf:61:8

Peristiwa yang berlaku memang menguji keimanan mereka yang sudah sedia beriman dan menambahkan kekafiran bagi mereka yang tidak beriman terhadap Allah SWT. Watak yang ditunjukkan oleh Saidina Abu Bakar yang tegas menerima walaupun yang menyampaikan berita itu adalah orang kafir musyrikin, maka Abu Bakar terus menerima tanpa apa-apa keraguan. Walaupun tujuan mereka untuk menguji keimanan Abu Bakar al-Siddiq, namun baginda dengan tegas menjawab kalau yang kamu beritahu itu ialah Nabi Muhammad SAW yang pergi sampai ke Sindatul muntaha lebih daripada itu pun aku percaya. Ini lah sifat yang ditunjukkan oleh Abu Bakar al-Siddiq yang sentiasa membenarkan apa yang dibawa oleh baginda walaupun orang lain engkar terhadap perkhabaran tersebut.

Kita juga boleh melihat bagaimana ketegasan baginda untuk memberitahu kepada orang ramai berkenaan dengan peristiwa Isra’ dan Mikraj, walaupun ia dilarang oleh Ummu Hani’ daripada menceritakan kepada orang lain kerana bimbang orang akan kata nabi Muhamamd SAW pembohong. Kerana macama mana mereka hendak percaya, kerana perjalanan mereka daripada Makkah ke Palestin dengan berjalan kaki dan naik unta memakan masa selama 40 hari 40 malam. Tiba-tiba nabi Muhammad SAW hanya mengambil masa selepas Isya’ dan pulang sebelum Subuh. Seperti yang ramalkan oleh Ummu Hani’ menjadi kenyataan. Ramai di kalangan mereka yang sudah beriman kembali murtad dan menambahkan kekafiran bagi mereka yang sedia kafir.


Pengajaran daripada Isra’ Mikraj

* Allah berkuasa untuk melakukan sesuatu kepada hambanya. Jarak yang manusia bilang selama 40 hari hanya berdasarkan kepada hitungan manusia bukan berdasarkan kepada kekuasaan Allah SWT. Allah menjalankan dan mengatur perjalanan bulan, matahari dan menentukan jarak perjalanan. Maka tidak menjadi masalah kepada Allah untuk membuat lebih daripada itu.

* Allah berkuasa untuk menjalankan Nabi Muhammad SAW sampai ke Sidratul Muntaha maka, Allah berkuasa untuk menolong agamanya sekiranya hambanya sudah memenuhi syarat untuk memikul amanah agamanya.

* Ketegasan Nabi Muhammad SAW yang tegas untuk menceritakan peristiwa ini kepada kaumnya walaupun Ummu Hani’ melarang kerana orang Islam imannya tidak begitu kukuh lagi dan orang kafir akan mencari kesalahan yang dibawa oleh nabi Muhammad SAW. Mereka menjadikan hujah Isra’ Mikraj sebagai jalan untuk menimbulkan keraguan kepada umat pada waktu itu. Nabi Muhammad SAW sebagai seorang Rasul yang yakin dengan kebenaran risalahnya maka terus tampil ketengah masyrakat untuk menceritakan peristiwa tersebut. Dengan Izzah Islam yang baginda bawa, maka baginda menceritakan kepada umatnya, walaupun tahu risiko kehilangan pengaruh.

Tiada ulasan: